=== start title seo ==== Isu hamba seks ketika Perang Dunia Kedua | putrajaya bloggers ===end title seo ===

Isu hamba seks ketika Perang Dunia Kedua

Tokyo: Majoriti penduduk Jepun tidak bersetuju dengan pandangan seorang ahli politik negara itu, Toru Hashimoto yang menyifatkan hamba seks ketika Perang Dunia Kedua adalah keperluan kepada tentera, kata satu ujian pendapat yang dikeluarkan semalam.

 
Lebih 200,000 hamba seks dari Korea, China, Filipina dan beberapa negara lain dipaksa melacur untuk memberikan khidmat seks kepada tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua, kata sejarah.

 
Hashimoto, yang juga Datuk Bandar Osaka, minggu lalu berkata, wanita terbabit memberikan satu 'keperluan' untuk memelihara disiplin askar, sehingga mencetuskan kemarahan di China dan Korea Selatan, selain dikritik Amerika Syarikat.

Dalam kajian pendapat hujung minggu membabitkan 1,550 isi rumah dikendalikan akhbar Mainichi Shimbun, 71 peratus berkata komen Hashimoto itu tidak sesuai, manakala 21 peratus berkata ia adalah komen yang 'bersesuaian'.

Dalam satu kajian berasingan hujung minggu membabitkan 3,600 isi rumah oleh akhbar Asahi Shimbun, 75 peratus pengundi berkata komen terbabit disifatkan sebagai 'bermasalah' manakala 20 peratus mengatakan ia mempunyai sedikit atau tiada sebarang masalah bagi mereka.

AS kecam

Amerika Syarikat Khamis lalu mengecam pendapat Hashimoto dan menganggapnya boleh mencetuskan kemarahan.

Sebagai maklum balas, beliau mendakwa tentera Amerika Syarikat pula mendera wanita Jepun ketika pendudukan mereka selama tujuh tahun selepas Jepun menyerah kalah pada 1945.

China, Korea Selatan dan Filipina turut menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap komen Hashimoto, episod terkini dalam kontroversi selama beberapa dekad mengenai sejarah di Asia Timur ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...